quranicgeneration.blogspot.com

Saturday, August 12, 2006 at 10:34 AM

ALLAH SAYANG KAMU!!

Allah sayang kita semua!!

Dosa-dosa menyebabkan amalan kita tertolak di hadapan Allah swt. Jiwa yang bersih dan suci sahaja akan diterima di akhirat kelak. Jika jiwa kita selamat dari penguasaan nafsu syahwat, maka kita tidak akan melanggar perintah dan larangan Allah. Kita juga akan bebas dari perkara syubhat (benda yang samar) yang biasanya menjurus ke arah perkara yang diharamkan oleh Allah swt.

”(Iaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
-maksud Asy-Syu’ara: 88-89-

Selain itu, Allah tidak akan menerima jiwa yang dikuasai oleh nafsu amarah (jiwa yang menyuruh pada kejahatan), nafsu lawwamah (jiwa yang menyesal) dan waswasah syaitaniah (jiwa yang sentiasa diragui oleh perasaan was-was).

”Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhinya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya.” –maksud Al-A’raf: 146-

Jika kita termasuk golongan yang memiliki jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kita akan termasuk dalam golongan hizbullah (wali-wali Allah) atau golongan hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Maka kita akan mudah untuk memasuki syurga seperti yang telah dijanjikan oleh Allah swt.

”Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga-Ku.”
–maksud Al-Fajr: 27-30-
Jiwa kita menjadi kotor kerana terjebak ke dalam perangkap-perangkap syubhat dan syahwat yang dipasang oleh syaitan. Persoalannya ialah bolehkah kita keluar dari kongkongan dosa-dosa sekaligus melakukan tazkiyyatun nafs (penyucian jiwa)?

Secara ringkasnya, cara untuk menyucikan jiwa ialah dengan kembali kepada nilai-nilai kebenaran dan kebaikan Islam, iaitu dengan meningkatkan kualiti iman, ilmu dan amal ibadah kepada Allah swt. Apabila kembali kepada nilai-nilai kebenaran Islam, jiwa kita akan bercahaya dan tenteram dalam kehidupan yang lebih baik (hayatan toyyibah).

”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.”
–maksud Ar-Ra’d: 28-

Ibnu Abbas berkata, ”Sesungguhnya kebaikan itu melahirkan keceriaan wajah, cahaya hati, kelapangan rezeki, kekuatan badan dan kasih sayang dalam hati manusia dan sesungguhnya kejahatan (dosa) itu menimbulkan kepucatan pada wajah kegelapan hati, sempitnya rezeki, lemah badan, dan kebencian dalam hati manusia.”



Jamilah Mokter